Definisi Wacana
“Wacana” berasal daripada perkataan bahasa Jawa “wocono”. “Wocono” pula daripada “woco” yang bermaksud “baca”. Dalam bahasa Inggeris, “discourse” berasal daripada bahasa Latin “discursus” yang bermakna “larian ke dan dari”. Menurut Chafe, wacana digunakan dengan pelbagai maksud oleh pelbagai pengkaji. Tetapi, pada umumnya, wacana dilihat sebagai sesuatu yang melampaui sempadan ayat yang terpisah-pisah. Wacana dan teks digunakan saling bertukar ganti, dan kedua-duanya merujuk kepada unit bahasa yang lebih besar daripada ayat. Dan, wacana, menurut beliau lagi, merujuk kajian tentang unit tersebut, cabang linguistik yang setara dengan cabang yang lain, seperti morfologi atau sintaksis.” (Sanat Md. Nasir, Pengupayaan Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu di Malaysia dan Singapura dalam “dan” dan “tetapi” dari Sudut Tatabahasa Wacana (2012:21).
Sebenarnya, wacana merangkumi keseluruhan aspek komunikasi, sama ada melibatkan mesej atau teks, pengucapan, penerimaan serta situasi konteks (Mohd. Sidin, 1999). Malahan, ada sesetengah pengkaji menganggap buah fikiran juga sebagai wacana. Fairclough (2003, dalam Idris Aman, 2010) mentafsirkan wacana sebagai pandangan khusus tentang bahasa penggunaan sebagai satu unsur kehidupan sosial yang berkait rapat dengan unsur lain. Hal ini bermakna wacana berkait rapat dengan kehidupan sosial kerana digunakan dalam komunikasi.
Berdasarkan definisi yang dikemukakan, terdapat persamaan berkaitan takrifan wacana. Secara tuntasnya, wacana ialah unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut, yakni tertinggi dalam tatatingkat bahasa. Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk.
1.1 Definisi tatabahasa wacana
Konsep tatabahasa wacana dijelaskan sebagai tatabahasa yang mencakupi unit tertinggi bahasa, iaitu wacana juga mengambil kira asas penggunaan bahasa yang mengambil kira koteks dan konteks yang cukup luas sehingga memungkinkan pengguna peka terhadap teks, koteks, dan konteks amalan sosial serta amalan agama. Dengan kata lain, tatabahasa seperti ini dikenali sebagai tatabahasa wacana mega (Sanat, 2005 dan 2006). Konsep tatabahasa ini sama dengan analisis wacana dari segi cakupan tumpuan pada wacana tetapi berbeza dari segi konteks amalan dan metodologi. Metodologi analisis wacana sekadar menganalisis menurut Johns-tone, B. (2002:2-4) merujuk kepada proses analisis secara eksplisit, sama ada mental atau mekanikal dalam memecahkan sesuatu kepada beberapa bahagian kecil.
1.2 Definisi tatabahasa wacana dalam penulisan karangan
Pengajaran tatabahasa wacana dalam penulisan yang terancang juga dapat membantu murid-murid memahami unsur-unsur tatabahasa, fungsinya dan maknatatabahasa (Arbak Othman 1985:19). Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM 2001, aspek tatabahasa sangat ditekankan dan dijadikan dasar kecekapan berbahasa dan diajarkan secara terancang dalam konteks bagi menghasilkan ketepatan berbahasa. Ini bagi membolehkan murid-murid mengikuti pengajaran tatabahasa secara berkesan dan memudahkan pemahaman mereka. Pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi ini membantu murid menghasilkan ayat yang gramatis dan berkomunikasi dengan berkesan. Pengajaran tatabahasa juga hendaklah diajar dengan tidak memisah-misahkan aspek-aspek tatabahasa yang hendak diajar dengan kemahiran bahasa yang lain.
Menurut Abd. Aziz Abd Talib (2000:236) pengajaran tatabahasa membolehkan murid-murid berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM 2001 mencadangkan bahawa tatabahasa hendaklah digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis.Tujuan utama penggabungjalinan ini dalam pengajaran tatabahasa adalah untuk memastikan murid akan belajar dan menguasai tatabahasa wacana dalam penulisan karangan sambil melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran yang ditetapkn (Awang Sariyan, 2004:194).
1.3 Strategi penggunaan wacana dalam penulisan karangan
Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang indah dan unik kerana ayat-ayat yang digunakan mempunyai tautan antara satu ayat dengan ayat yang lain (kohesi) dan mempunyai perkaitan antara satu perenggan dengan perenggan yang lain (koheren). Daripada pernyataan inilah yang membuatkan sesebuah karya bahasa Melayu menjadi hebat. Bagi melahirkan karya Bahasa Melayu, ianya bukanlah sesuatu yang sukar tetapi sekiranya seseorang penulis itu tahu menggunakan wacana yang baik dan tepat, sudah pasti hasilnya juga akan hebat. Semasa berbahasa, sama ada tulisan ataupun lisan mestilah mempunyai kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain atau memperlihatkan wacana yang berkesan agar pendengar atau pembaca memahami isi atau hujah yang ingin dan akan disampaikan.
Wacana yang baik mestilah mempunyai beberapa perkara seperti kohesi dan koheren yang dinyatakan di atas dan termasuklah tahu akan fungsi wacana itu sendiri. Penanda wacana tidak boleh digunakan pada tempat-tempat sembarangan, kerana kesalahan penggunaan penanda wacana akan menjejaskan atau merosakkan maksud sesuatu hujah yang ingin disampaikan. Pendengar atau pembaca akan keliru atau tidak memahami idea yang ingin disampaikan itu.
Setelah diteliti dengan mendalam, bolehlah dikatakan bahawa penanda wacana di dalam bahasa Melayu ini mempunyai banyak kepentingannya dalam menghasilkan sesebuah karya ataupun penulisan. Seseorang penulis haruslah tahu menggunakan dan faham akan kepentingan wacana itu sendiri kerana aspek penanda wacana akan mempengaruhi:
a) Cara pengolahan serta penyusunan struktur ayat.
b) Pembahagian perenggan.
c) Penggunaan kosa kata.
d) Penggunaan bahasa secara keseluruhan.
Pelajar-pelajar sekolah rendah terutamanya, perlu didedahkan dengan cara-cara meningkatkan kemahiran penggunaan wacana terutamanya di dalam aktiviti penulisan. Penggunaan wacana yang lemah akan menjejaskan kualiti sesebuah karya. MenurutKamaruddin Hj Husin (1988) di dalam buku HBML 3203, Tatabahasa dalam Pengajaran Bahasa Melayu keluaran Open University Malaysia, menjelaskan bahawa beberapa perkara perlu diberikan perhatian oleh murid dalam usaha menghasilkan penulisan yang baik, iaitu sebelum, semasa dan selepas menjalankan aktiviti penulisan.
Pelajar yang pintar akan membuat persediaan awal sebelum menulis sesebuah karya atau karangan. Mereka sepatutnya melakukan banyak latihan tatabahasa terlebih dahulu dan membaca lebih bahan-bahan tambahan seperti akhbar, majalah, buku-buku ilmiah dan sebagainya bagi mendapatkan idea serta menambah perbendaharaan kata dan mengetahui penanda wacana yang sesuai dan menarik untuk dimasukkan ke dalam hasil tulisan mereka nanti.
Pelajar juga patut didedahkan dengan latihan-latihan menyalin semula petikan atau perenggan yang mengandungi penanda wacana yang baik agar mereka dapat memahami fungsi penanda wacana yang sesuai di dalam hasil penulisan mereka nanti.(Kamarudin Hj. Husin, 1988), menyarankan agar seorang guru sentiasa memberi perhatian dalam beberapa perkara dalam mengajarkan penulisan iaitu:
a) Sebelum Penulisan
I. Murid perlu memahami format karangan dan apakah yang diinginkan dalam soalan.
II. Mengetahui maklumat penting dalam soalan atau kata kunci .
III. Menjana idea isi penting dan seterusnya membina draf karangan .
IV. Memastikan tiga aspek utama penulisan di patuhi iaitu, pendahuluan, isi dan penutup. Kebiasaannya setiap karangan perlu mempunyai satu perenggan pendahuluan, empat perenggan isi dan penutup.
b) Semasa Penulisan
I. Memastikan format yang perlu di patuhi
II. Membuat huraian berdasarkan isi karangan/kerangka penulisan.
III. Menulis pendahuluan secara ringkas. Memadai dua atau tiga baris ayat.
IV. Setiap isi seharusnya di nyatakan dengan jelas beserta huraian dan contoh.
V. Membuat rumusan atau kesimpulan daripada karangan.
No comments:
Post a Comment